SHMMP Tahun Baru Cina 2025: 16 barangan disenarai

PETALING JAYA: Sebanyak 16 barangan disenaraikan di bawah pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2025 yang berkuat kuasa bermula 25 Januari hingga 2 Februari ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, barangan itu membabitkan ikan bawal putih, udang putih, kobis bulat import, ubi kentang import, bawang putih, halia tua, lobak merah, lobak putih, perut, daging dan lemak khinzir.

Menurutnya, selain 11 barangan sedia ada seperti perayaan terdahulu.

“Lima barangan baharu ditambah dalam skim ini iaitu cili merah, bawang kuning besar, bawang merah besar import, sawi pendek (Semenanjung Malaysia sahaja) dan kepak ayam (Sabah, Sarawak dan Labuan).

“Skim ini akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Orang ramai boleh menyemak harga maksimum yang ditetapkan melalui laman web KPDN di www.kpdn.gov.my,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, difahamkan pegawai-pegawai KPDN akan ditugaskan di lokasi-lokasi strategik untuk menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan dalam kalangan peniaga serta melindungi kepentingan pengguna.

Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya juga bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim ini.

“Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga yang ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Anda Mungkin Berminat