PETALING JAYA: Sidang Khas Parlimen yang berlangsung hari ini mengenai isu tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) memberi gambaran jelas bahawa kepimpinan negara mengutamakan kepentingan nasional melebihi perbezaan politik.
Menurut Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Arshad Hassni, langkah kerajaan mengadakan sesi perbincangan khas itu membuktikan kesediaan semua pihak termasuk pembangkang untuk duduk semeja dan mencari penyelesaian bersama terhadap cabaran ekonomi negara.
Katanya, sidang khas itu mencerminkan kematangan politik kepimpinan Madani di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Langkah menjemput semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk sama-sama berbincang menunjukkan keterbukaan dan kesediaan kerajaan untuk meraih penyelesaian bersama dalam isu yang berkait rapat dengan masa depan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau berkata, isu tarif tersebut perlu dilihat sebagai cabaran nasional yang memerlukan sokongan merentas parti, bukan sekadar permainan politik.
“Dengan ketidaktentuan global serta persaingan ekonomi serantau yang semakin mencabar, adalah penting untuk Malaysia tampil dengan suara yang bersatu,” katanya.
Arshad turut berpendapat bahawa sidang khas itu memberi peluang kepada blok pembangkang khususnya Perikatan Nasional (PN) untuk membuktikan kematangan politik mereka dengan menawarkan idea dan cadangan dasar yang konstruktif.
“Ini adalah peluang terbaik untuk mereka keluar daripada naratif lama dan menunjukkan kesediaan untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian nasional.
“Saya yakin pentadbiran Kerajaan Madani akan terus konsisten dalam menjaga kepentingan negara termasuk mengekalkan kedudukan strategik Malaysia yang bersifat neutral dalam persekitaran geopolitik antarabangsa.
“Pendekatan ini penting untuk memelihara keyakinan pelabur dan mengekalkan daya saing Malaysia dalam pasaran global,” katanya lagi.
Sidang Khas Parlimen hari ini dijangka menyaksikan perbahasan menyeluruh mengenai tindakan balas terhadap keputusan mengejut AS yang dikenakan ke atas eksport Malaysia.