Sim Tze Tzin seru kerajaan kaji semula pengimportan sayuran terlalu bebas dalam negara

Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin menyeru kerajaan untuk mengkaji semula pengimportan sayur-sayuran yang terlalu bebas dan berleluasa hingga menjejaskan hasil jualan sayuran tempatan.

Ia susulan rakyat negara China yang membuka syarikat di Malaysia dan mengimport terus sayuran dari China dengan menggunakan modal besar, menguasai rantaian pengimportan dan mereka makin menguasai pasaran sayur Malaysia.

“China adalah negara besar, lambakan sayur ke pasaran kecil Malaysia sudah tentu akan menyebabkan kerugian kepada pekebun kecil dan pekebun besar.

“Jika keadaan ini berterusan dan petani tempatan akan terus mengalami kerugian, mereka akan memilih untuk keluar atau bersara dari industri hingga mampu menjejaskan keterjaminan makanan negara.

“Malaysia tidak harus terlalu bergantung kepada import, malah perlu membangunkan industri sayur-sayuran kita sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Sim yang juga merupakan Ahli Parlimen Bayan Baru turut menyatakan kebimbangannya dengan kejatuhan harga sayur-sayuran yang mendadak.

Beliau menambah pelbagai faktor utama lain kejatuhan harga tersebut, selain pengimportan terus sayuran dari China dan Thailand.

“Antara faktor kejatuhan harga termasuk faktor cuaca, musim buah dan faktor pasaran,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat