Cubaan seorang lelaki bersama dua wanita melarikan diri ke negara jiran gagal selepas mereka ditahan kerana dipercayai menjadi perantaraan menyeludup dadah ke negara jiran di sekitar kawasan jeti awam Sungai Tongkang, Bergosong, Pulau Sebatik Tawau, Sabah
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Bin Hussin berkata, kejadian kira-kira pukul 10 pagi, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau sedang membuat risikan dan pemerhatian atas maklumat dadah.
“Semasa pemerhatian dibuat, pihak polis ternampak suspek seorang lelaki bersama dua wanita telah masuk ke dalam sebuah kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) yang sedang parkir di kawasan letak kereta berhampiran.
“Pihak polis seterusnya menahan ketiga-tiga suspek selepas memperkenalkan diri ketika kesemua suspek berada di dalam kenderaan tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan, polis menjumpai empat paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 201.58 gram dengan anggran nilai berjumlah RM12,094.80 disimpan di dalam tempat letak lengan (Arm Rest) di dalam kenderaan tersebut.
Tambahnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki tersebut positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine manakala kedua-dua suspek wanita itu negatif dadah.
Katanya suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Ahad dan kes di siasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Tegas ACP Jasmin, pihak Polis memandang serius berkaitan jenayah dadah di daerah ini dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut prosedur undang-undang sedia ada.
Baca juga: