Simpanan RM15,000 Jadi Penentu Tawaran Haji – TH

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mempergiat usaha memperkukuh kesiapsiagaan jemaah haji dengan pendekatan lebih awal dan sistematik, susulan kadar penolakan tawaran haji yang tinggi pada musim lalu.

Dalam satu kenyataan media pada Jumaat, TH menjelaskan bahawa laporan mengenai penolakan tawaran haji sebanyak 50 peratus merujuk kepada data musim haji 1446H/2025M.

Menurut analisis, punca utama penolakan adalah tahap simpanan pendeposit yang tidak mencukupi.

“Analisis terhadap jumlah penolakan pada musim haji 1446H/2025M yang lepas mendapati ia terutamanya berpunca daripada tahap simpanan pendeposit yang rendah,” kata TH.

Sebagai langkah proaktif menjelang musim haji 1447H/2026M, TH telah memulakan peringatan berkala seawal Ogos 2025 kepada semua bakal jemaah agar bersedia dari segi kewangan, kesihatan dan ilmu pengetahuan.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha peremajaan jenama TH yang kini menunjukkan hasil memberangsangkan.

“Tawaran haji bagi musim 1447H/2026M kepada jemaah masih lagi dikeluarkan secara berperingkat ketika ini,” kata kenyataan itu.

Menariknya, kadar penolakan tawaran haji bagi musim akan datang didapati lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

TH menyifatkan penurunan itu sebagai kesan positif daripada peringatan awal dan kempen simpanan berterusan yang dijalankan.

“Jemaah haji perlu mencukupkan simpanan minima sebanyak RM15,000 di akaun TH masing-masing untuk melayakkan menerima tawaran haji atau untuk membuat rayuan haji,” tegas TH.

TH turut menyeru semua bakal jemaah agar menyimpan secara berkala dan sistematik sejak awal serta menjaga kesihatan kendiri sebagai persiapan menunaikan rukun Islam kelima.

Anda Mungkin Berminat