Sindiket pelaburan guna slogan ‘Patuh Syariah’ catat kerugian RM12 juta

Penggunaan slogan Patuh Syiah oleh sindiket pelaburan dengan mudah memperdaya mangsa sekali gus menjerat orang ramai sehingga mengakibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM12 juta pada 2023.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pada 2023, sebanyak 284 kertas siasatan membabitkan sindiket yang menggunakan taktik menawarkan skim Islam dan patuh syariah.

Katanya, penjenayah menggunakan platform media sosial untuk menjerat mangsa dengan meletakkan iklan individu berpengaruh seperti selebriti, tokoh korporat dan pempengaruh media sosial.

“Kerugian yang direkodkan daripada 284 laporan ini berjumlah RM11.66 juta. Sindiket ini secara terang-terangan menawarkan skim melalui media sosial.

“Berdasarkan semakan kami beberapa iklan ini menawarkan pulangan setinggi 50 kali ganda nilai pelaburan, manakala sesetengah yang lain menawarkan pulangan pembayaran dalam tempoh tiga jam selepas pelaburan dibuat,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan penjenayah yang menggunakan sentimen agama untuk menipu mangsa yang majoritinya beragama Islam.

“Apa yang lebih membimbangkan ialah sindiket ini meletakkan iklan dengan menggunakan gambar ahli politik, tokoh agama, selebriti, tokoh korporat dan pengaruh media sosial.

“Kami telah menerima laporan polis daripada beberapa individu yang mendakwa gambar mereka disalahgunakan untuk mempromosikan penipuan ini,” katanya.

Sebelum ini, polis tealh membuat 50 serbuan pada 2023 dan menahan 119 orang yang dipercayai terlibat dalam sindiket itu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat