Sindiket Penyeludupan Migran ‘Geng Sojul’ Tumpas, Kutip RM1.2 Juta Sejak Disember

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan migran dikenali sebagai Geng Sojul, selepas menahan seorang lelaki warga tempatan, seorang warga Bangladesh yang disyaki bertindak sebagai transporter, serta 20 warga asing tanpa dokumen.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan pertama dilakukan pada pukul 1.30 tengah hari semalam (Ahad) di kawasan parkir sebuah pasar raya di Jalan Kuchai Lama.

Menurutnya, sebuah pikap dan SUV yang dipercayai membawa migran berjaya dipintas.

“Seramai enam lelaki dan seorang wanita warga Bangladesh serta seorang lelaki Myanmar ditahan dalam operasi tersebut,” katanya.

Serbuan kedua pula dijalankan di sebuah kondominium sekitar Kuchai Lama yang dipercayai dijadikan premis transit dan persembunyian migran.

“Premis ini digunakan untuk menunggu penghantaran ke beberapa destinasi di Lembah Klang,” katanya.

Dalam serbuan itu, 12 lelaki warga Bangladesh yang baru tiba dari negara jiran turut ditahan.

Zakaria berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Disember 2025 dengan modus operandi membawa masuk warga asing melalui laluan negara ketiga sebelum menyusup secara haram melalui Kelantan seterusnya dibawa ke Lembah Klang.

“Sindiket mengenakan bayaran RM12,000 bagi setiap migran yang diseludup dan dipercayai mengaut keuntungan sekitar RM1.2 juta sejak beroperasi,” katanya.

Selain itu, pihak berkuasa turut menyita dua kenderaan, beberapa pasport Bangladesh, wang tunai RM82,100 serta mata wang asing AS$3,700.

“Rampasan ini akan dijadikan bukti untuk siasatan lanjut,” jelasnya lagi.

Kesemua individu yang ditahan kini ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pasport 1966.

Anda Mungkin Berminat