PETALING JAYA: Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse tampil mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada sindiran pimpinan PAS yang mendakwa beliau terlalu kerap ke luar negara.
Menurut Jimmy, dakwaan tersebut langsung tidak berasas kerana setiap lawatan rasmi Perdana Menteri adalah demi kepentingan negara, bukan urusan peribadi.
“Di forum antarabangsa, Perdana Menteri mendapat pengiktirafan besar.
“China memuji beliau dalam Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), manakala Amerika Syarikat mengiktiraf peranan penting beliau dalam membantu gencatan senjata Thailand–Kemboja.
“Ini bukti Malaysia kembali dihormati,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Jimmy berkata, lawatan rasmi Anwar telah membawa pulangan pelaburan yang nyata dan bukan sekadar retorik politik.
Pada tahun 2024, Malaysia mencatat pelaburan diluluskan sebanyak RM378.5 bilion, meningkat 14.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Daripada jumlah itu, RM170.4 bilion adalah pelaburan asing manakala RM208.1 bilion pelaburan domestik.
“Pada separuh pertama 2025 sahaja, kita sudah meluluskan RM190.3 bilion pelaburan, iaitu kenaikan 18.7 peratus, dengan lebih 89,000 peluang kerja baharu dijangka diwujudkan,” ujarnya.
Beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai rekod tertinggi dalam sejarah pentadbiran negara dan bukti bahawa Malaysia kini kembali diyakini oleh pelabur antarabangsa.
“Jelas sekali, PAS hanya cemburu dengan kejayaan ini.
“Mereka cuba memperlekeh Perdana Menteri tetapi gagal menunjukkan sumbangan nyata kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya lagi.
Sejak dilantik, Anwar giat mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan strategik melalui lawatan rasmi ke pelbagai negara.








