KUALA LUMPUR: Sistem Bilik Gerakan Bencana JKR Malaysia (BiGBen) kini menjadi nadi utama dalam mempercepatkan penyampaian maklumat penutupan jalan, laluan alternatif dan situasi semasa kepada rakyat khususnya menjelang Monsun Timur Laut (MTL) yang sering membawa risiko banjir, tanah runtuh dan gangguan perjalanan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, BiGBen bersama sistem eBencana beroperasi secara masa nyata bagi memastikan orang ramai menerima maklumat kritikal dengan lebih cepat dan tepat.
“Melalui BiGBen dan eBencana, maklumat penutupan jalan serta laluan alternatif boleh disalurkan jauh lebih pantas, sekali gus membantu rakyat membuat persediaan dan mengelakkan risiko keselamatan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Terdahulu, Nanta mengetuai sesi tinjauan bersama Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi, Friends of Ministry – KKR (FOM–KKR) serta Ahli Parlimen All Party Parliamentary Group Malaysia (APPGM) – Disaster Risk Management ke pusat operasi berkenaan.
Beliau berkata, lawatan itu memberi peluang kepada Ahli-Ahli Parlimen memahami dengan lebih mendalam operasi pemantauan BiGBen sebelum menyalurkan maklumat tepat kepada penduduk kawasan masing-masing.
“Kesiapsiagaan ini sangat penting, terutama ketika hujan lebat yang berpotensi menyebabkan banjir atau gangguan perjalanan.
“Pemantauan terhadap cerun dan rangkaian jalan raya dilakukan 24 jam tujuh hari seminggu,” katanya.








