KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menzahirkan penghargaan mendalam atas titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap ATM iaitu satu kenyataan yang disifatkan sebagai lambang sinergi kukuh antara institusi diraja, kerajaan negeri dan ATM.
“Sesungguhnya titah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor ini menterjemahkan sinergi strategik yang utuh antara institusi diraja, kerajaan negeri dan ATM,” kata kenyataan itu.
ATM menyifatkan kesediaan Kerajaan Negeri Johor untuk memberi ruang serta kerjasama penuh dalam pelaksanaan eksesais ketenteraan sebagai bukti komitmen terhadap kelangsungan kesiagaan pertahanan negara.
ATM turut menzahirkan penghargaan atas jaminan DYAM Pemangku Sultan Johor untuk terus membuka pintu dan menyantuni veteran ATM iaitu satu langkah yang dilihat mampu melonjakkan moral warga perkhidmatan.
“Pengiktirafan terhadap jasa perwira yang telah menamatkan perkhidmatan membuktikan bahawa pengorbanan mereka kekal dihargai,” menurut kenyataan itu lagi.
Dalam masa sama, ATM berkata, setiap operasi ketumbukan tentera sentiasa berlandaskan lunas perundangan dan mandat pertahanan negara dilaksanakan secara holistik merentasi sempadan geografi.
Latihan yang konsisten dan realistik di lapangan sebenar, jelas ATM, menjadi prasyarat utama bagi memperkasa kompetensi taktikal warga tentera serta menjamin kesiapsiagaan pertahanan negara berada pada tahap tertinggi.
ATM juga menekankan fokus terhadap sumber dan kepakaran sebagai objektif teras pertahanan nasional, di samping mengekalkan profesionalisme serta memastikan keselamatan rakyat dan kedaulatan tanah air sentiasa menjadi keutamaan mutlak di bawah naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.








