PETALING JAYA: Selepas melalui perjalanan panjang hampir 10 jam menaiki pesawat Air Ambulance dari Jeddah, jemaah haji Malaysia, Asmah, akhirnya selamat tiba di tanah air, malam tadi.
Ketibaan beliau disambut penuh kesyukuran oleh ahli keluarga di Lapangan Terbang Subang sebelum dibawa terus ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, yang turut hadir menyambut kepulangan Asmah, menyifatkan misi membawa pulang beliau sebagai simbol solidariti rakyat Malaysia.
“Alhamdulillah… satu perjalanan panjang yang akhirnya pulang ke pangkuan tanah air.
“Malam ini saya ke Hospital Putrajaya, menyambut kepulangan Asmah, jemaah haji yang diuji dengan kesihatan apabila selesai ibadah haji dan dimasukkan ke Saudi German Hospital,” katanya.
Pesawat yang membawa Asmah berlepas dari Jeddah pada 4.30 pagi waktu Arab Saudi, berhenti seketika di Nagpur, India pada 10.40 pagi sebelum kembali terbang sejam kemudian.
Tepat pukul 8.15 malam, pesawat mendarat di Subang, menamatkan perjalanan penuh cabaran yang dikawal rapi oleh kru perubatan dan pasukan keselamatan.
“Saya mengikuti rapat perjalanan ini sejak awal dari koordinasi Tabung Haji, pasukan perubatan Arab Saudi, kru Air Ambulance, sehinggalah saat pintu pesawat dibuka dan beliau dibawa turun dengan penuh berhati-hati.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Tabung Haji dan juga Kerajaan Arab Saudi yang memastikan misi ini berjalan dengan lancar,” katanya.
Kini, Asmah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya untuk pemantauan lanjut.
Mohd Na’im turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan perubatan tempatan yang bersedia menerima dan merawat beliau dengan penuh profesionalisme.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pasukan perubatan Hospital Putrajaya yang bersedia menerima dan merawat beliau (Asmah) dengan penuh profesionalisme dan kasih insan.
“Ketibaan Asmah malam ini bukan sekadar satu misi perubatan tetapi sebuah perjalanan solidariti rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau turut berkata, kejayaan misi ini adalah hasil doa, sumbangan dan usaha bersama pelbagai pihak yang prihatin terhadap nasib
Asmah.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan, yang menyumbang dan yang bersama memastikan usaha membawa pulang Asmah dapat direalisasikan.
“Semoga Allah SWT menganugerahkan kesembuhan buat beliau, dan memberkati setiap tangan yang membantu,” tambahnya.








