Speaker DUN Perlis akan mohon SPR adakan pilihan raya semula

KANGAR: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’ele Eizan mengumumkan kekosongan luar jangka di tiga DUN iaitu Chuping, Bintong dan Guar Sanji selepas tiga Adunnya terhenti keahlian PAS.

Katanya, status kekosongan kerusi tersebut akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.

Walaupun tempoh penggal sudah matang iaitu tiga tahun, pihaknya berpendapat terdapat keperluan untuk diadakan pilihan raya kecil (PRK) di ketiga-tiga kerusi berkenaan.

“Dalam keadaan biasa berdasarkan Fasal (5) Perkara 55 Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis, tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya kekosongan luar jangka tersebut bila mana usia DUN telah mencecah tiga tahun atau lebih,” katanga

Semalam, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata keputusan itu dibuat berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (pindaan 2025).

Fasal berkenaan merujuk kepada tindakan yang menyebabkan keanggotaan daripada parti itu terhenti, termasuklah menyertai atau menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Ia dipercayai susulan pergolakan dihadapi kerajaan Perlis selepas tercetusnya usaha menjatuhkan kepimpinan Menteri Besar, Shukri Ramli.

Sementara itu Rus’ele berkata, pihaknya akan mengemukakan alasan-alasan mengenai terjejasnya bilangan parti yang membentuk majoriti DUN Perlis kepada SPR.

“Saya akan menggunakan budi bicara yang diperuntukan melalui priviso kepada Fasal (5) Perkara 55 Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis untuk memaklumkan kepada SPR bahawa kekuatan dari segi bilangan parti membentuk majoriti semua Adun adalah terjejas.

“Dan akan meminta SPR mengadakan pilihan raya semua bagi mengisi tiga kekosongan luar jangka tersebut.

“Alasan-alasan terjejasnya bilangan parti yang membentuk majoriti bagi DUN Perlis akan saya perincikan dalam pemakluman bertulis kepada SPR,” katanya.

Tambahnya, tempoh tiga tahun usia DUN Perlis bermula dengan mesyuarat pertama DUN pada 19 Dis 2022 dan berakhir pada 18 Dis 2025.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat