KOTA KINABALU: Spekulasi mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah terus menjadi perbincangan hangat apabila ramai menjangka ia bakal diumumkan pada Jumaat, sama ada 3 Oktober atau 10 Oktober ini.
Namun begitu, sehingga kini hanya Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang mengetahui tarikh sebenar pembubaran berkenaan.
Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan berkata, berdasarkan pertemuan bersama Hajiji baru-baru ini, Ketua Menteri hanya memberi bayangan bahawa pembubaran akan dibuat dalam tempoh terdekat.
“Beliau (Hajiji) tidak menyatakan tarikh tertentu, cuma ada isyarat. Jadi kita tunggu pengumuman rasmi nanti,” katanya ketika ditemui media di sini.
Sementara itu, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika diminta mengulas perkembangan itu berkata, partinya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“UMNO Sabah konsisten, kita sudah buat persiapan di semua bahagian. Sama ada dibubar 3 Oktober, 10 Oktober atau bila-bila masa sekalipun, kita sedia hadapi pilihan raya,” katanya.
Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Lee Kuok Tiung berpandangan tarikh pembubaran berkemungkinan dipilih berdekatan dengan Bajet 2026 yang akan dibentangkan di Parlimen bulan ini.
“Jika diumumkan pada 3 atau 10 Oktober, ia memberi ruang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyelaras tarikh pilihan raya negeri dengan baik tanpa bertindih dengan agenda Parlimen. Namun semuanya bergantung kepada strategi Ketua Menteri,” katanya.
Penggal DUN Sabah hanya akan tamat pada Disember 2025, namun mandat baharu dijangka dipohon lebih awal bagi memperkukuh kedudukan kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Baca juga: