SPRM Jejak Wang Skandal Lebuhraya MEX Dilabur Pada Kripto

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini giat menjejaki aliran wang ratusan juta ringgit yang dipercayai diseleweng daripada dana sukuk projek sambungan Lebuhraya Maju Expressway (MEX II).

Ini termasuk lebih RM11 juta yang didapati dilaburkan dalam bentuk mata wang kripto.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata siasatan mendapati sekurang-kurangnya RM9 juta daripada dana tersebut  ditukar kepada aset digital dan tidak digunakan untuk tujuan asal projek pembinaan lebuh raya berkenaan.

 “Ini adalah perkembangan baru dalam siasatan kami. Dana dalam bentuk digital ini digunakan untuk pembelian tertentu yang kini sedang kami jejaki secara terperinci,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Menurut Azam, setakat ini SPRM sudah merakam keterangan 55 saksi termasuk tokoh-tokoh korporat, ahli keluarga dan individu yang berkaitan, selain membekukan 14 akaun bank yang mengandungi wang berjumlah RM156 juta.

Dana Mengalir ke Syarikat Proksi dan Akaun Peribadi

Hasil siasatan awal menunjukkan bahawa sejumlah besar daripada dana sukuk tersebut dipercayai telah dipindahkan ke beberapa syarikat proksi serta akaun peribadi isteri kepada seorang tokoh korporat bergelar ‘Tan Sri’, yang dinamakan sebagai suspek utama dalam kes ini.

Dana itu kemudiannya digunakan untuk pembelian pelbagai aset mewah termasuk hartanah, kenderaan, jam tangan berjenama, barang kemas dan barangan mewah lain.

Antara aset yang telah disita SPRM termasuk:

Sebuah kondominium mewah dan sebidang tanah bernilai RM24.5 juta

  • Sembilan kenderaan bernilai RM7.6 juta
  • Jam tangan mewah bernilai RM25 juta
  • Beg tangan berjenama bernilai RM3 juta
  • Barang kemas dan berlian bernilai RM6 juta
  • Empat ekor kuda bernilai RM400,000
  • Minuman keras premium bernilai RM3 juta

Selain itu, siasatan turut mendedahkan bahawa sebahagian dana projek MEX II itu turut digunakan untuk membiayai aktiviti perjudian, termasuk di kasino luar negara.

 “Jumlah RM20 juta yang dilaporkan sebelum ini sebenarnya mungkin lebih tinggi.

“Pegawai penyiasat memaklumkan kepada saya bahawa wang itu digunakan untuk perjudian di beberapa lokasi,” kata Azam.

SPRM kini sedang melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan dan Azam mengarahkan siasatan diselesaikan dalam tempoh dua bulan, atau lebih awal jika semua maklumat yang diperlukan dapat dikumpulkan.

Azam turut memaklumkan bahawa tiada keperluan untuk memanggil semula tokoh korporat bergelar Tan Sri itu buat masa ini kerana kenyataan awal beliau sudah direkodkan secara menyeluruh.

 “Kami kini sedang menumpukan kepada analisis aliran wang melibatkan transaksi digital dan mata wang kripto,” katanya.

SPRM dijangka mendapatkan maklumat lanjut daripada institusi kewangan tempatan dan luar negara bagi melengkapkan siasatan kes yang disifatkan sebagai antara skandal kewangan terbesar berkaitan projek infrastruktur negara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Anda Mungkin Berminat