Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang didakwa terlibat rasuah berkaitan projek mineral di negeri itu telah dirakam keterangan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan berkata, siasatan awal berhubung aduan itu membawa kepada penemuan maklumat yang mengaitkan beberapa ADUN Sabah.
“SPRM Sabah sudah menerima aduan mengenai seorang ahli perniagaan disyaki terbabit isu dakwaan rasuah berkaitan perolehan projek mineral di negeri itu.
“Siasatan awal berhubung aduan itu membawa kepada penemuan maklumat yang mengaitkan beberapa ADUN Sabah yang disyaki terbabit isu dakwaan rasuah membabitkan ahli perniagaan berkenaan.
“Setakat ini, lima orang ADUN sudah dipanggil untuk dirakam percakapan, dan siasatan masih giat dijalankan,” katanya pada Ahad.

Sementara itu, SPRM menggesa orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan dengan telus dan menyeluruh.
Sebelum ini, media melaporkan pemberi maklumat skandal rasuah mendapat perhatian selepas mengutus surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya SPRM meminta campur tangan berhubung permintaannya untuk perlindungan dan kekebalan undang-undang di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Pemberi maklumat mendakwa mempunyai lapan video menunjukkan ADUN berbincang mengenai wang.
Dia mendakwa bahawa ia adalah rasuah yang diberikan sebagai pertukaran untuk sokongan mereka bagi mendapatkan projek di negeri terbabit.
Baca juga: