SPRM Sedia Beri Bantuan Pendidikan Anak Mendiang Teoh Beng Hock

PETALING JAYA: Sempena memperingati genap 16 tahun pemergian mendiang Teoh Beng Hock, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menzahirkan komitmen berterusan untuk memperkukuh integriti institusi dan memastikan kebajikan individu yang terlibat dalam siasatan sentiasa terpelihara.

“Saya ingin menzahirkan simpati dan memohon maaf kepada keluarga mendiang atas penderitaan yang ditanggung sepanjang tempoh ini,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan rasmi.

Beliau berkata, kerajaan telah membayar pampasan penuh berjumlah RM660,000 kepada keluarga Teoh pada tahun 2015.

Terbaharu, katanya, SPRM turut menyatakan kesediaan untuk memberikan sumbangan ihsan khas bagi kebajikan dan pendidikan anak mendiang sebagai tanda keprihatinan terhadap impak berpanjangan insiden tersebut.

Terdahulu, mendiang Teoh ditemui meninggal dunia di bangunan SPRM Selangor pada 16 Julai 2009, mencetuskan pelbagai siasatan termasuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 2011 serta keputusan Mahkamah Rayuan pada 2014.

Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara hasil siasatan terkini oleh PDRM.

Dalam pada itu, Azam Baki berkata, SPRM turut memperincikan pelbagai langkah penambahbaikan institusi termasuk pembinaan bilik rakaman bervideo (VIR), kamera badan, pemasangan jeriji keselamatan serta pengamalan teknik soal siasat beretika seperti model PEACE dari United Kingdom.

Anda Mungkin Berminat