PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2025 khususnya berkaitan kelemahan tadbir urus dan potensi salah laku dalam agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Menurut SPRM, laporan yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini mendedahkan pelbagai ketirisan dan ketidakpatuhan yang berpotensi melibatkan unsur jenayah di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694).
“SPRM menyokong penuh pendedahan Ketua Audit Negara dan akan menjalankan siasatan terhadap sebarang ketidakpatuhan atau penyelewengan yang dikesan,” menurut kenyataan rasmi SPRM.
Suruhanjaya itu berkata, siasatan tidak hanya tertumpu kepada isu tatakelola tetapi turut merangkumi kemungkinan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah dalam agensi serta GLC yang terlibat.
Bagi mempercepatkan tindakan, SPRM akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Audit Negara (JAN) untuk mendapatkan dokumen sokongan dan maklumat penting bagi siasatan lanjut.
“Segala bentuk salah laku yang menjejaskan integriti pengurusan awam akan disiasat dengan telus dan tegas,” kata kenyataan itu lagi.
SPRM turut menegaskan komitmen mereka untuk memastikan tahap tadbir urus negara berada pada standard tertinggi, sejajar dengan usaha memulihkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.
Terdahulu, LKAN Siri 2/2025 mendedahkan ketirisan serius melibatkan lebih RM48 bilion dalam beberapa kementerian dan agensi kerajaan termasuk kelemahan dalam pelaksanaan projek, pelanggaran prosedur kewangan dan pengurusan dana awam yang tidak berkesan.








