PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bersama dua isterinya kira-kira jam 7 malam tadi bagi membantu siasatan berkaitan satu tender perolehan ketenteraan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ketiga-tiga individu berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Putrajaya esok (Khamis) untuk permohonan reman.
“SPRM dijangka memohon perintah reman terhadap bekas panglima dan dua isterinya. Pasangan suami isteri yang ditahan itu pula telah direman selama tujuh hari,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Menurut sumber, siasatan tertumpu kepada aliran wang yang disyaki dimasukkan ke dalam akaun milik pegawai berkenaan.
Terdahulu, Muhammad Hafizuddeain hadir sendiri ke ibu pejabat SPRM kira-kira jam 3 petang untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan bahawa Muhammad Hafizuddeain diarahkan bercuti sementara menunggu siasatan pihak berkuasa berhubung dakwaan terhadapnya diselesaikan. Susulan itu, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Azhan Md Othman dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-31 berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Pada 23 Disember lalu, SPRM telah hadir ke Kementerian Pertahanan bagi menjalankan siasatan yang memfokuskan kepada projek-projek dilaksanakan menerusi proses tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.
Semalam, SPRM turut menahan reman 17 pengarah syarikat yang dipercayai terlibat dalam rangkaian kartel berkaitan tender perolehan Tentera Darat.
Baca juga:








