SPTM Dilaksana Mulai Tahun Hadapan, Perkasa Kualiti Pendidikan Tahfiz – Zahid

PETALING JAYA: Kerajaan akan melaksanakan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM) secara berperingkat mulai tahun hadapan sebagai langkah memperkukuh kualiti pendidikan tahfiz di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, SPTM diwujudkan sebagai mekanisme pengiktirafan kepada huffaz dan institusi tahfiz agar lebih tersusun, berkualiti serta berdaya saing.

Menurut beliau, pelaksanaan standard itu bukan sahaja menyelaras sistem pengiktirafan, malah memupuk budaya kecemerlangan dalam kalangan institusi tahfiz di seluruh negara.

“SPTM bukan sekadar pengiktirafan di atas kertas tetapi satu usaha menyeluruh untuk meningkatkan kualiti pendidikan, tadbir urus dan amalan terbaik institusi tahfiz,” katanya.

Sebagai dorongan tambahan, Ahmad Zahid mengumumkan bahawa 10 institusi tahfiz terbaik yang mencapai prestasi cemerlang berdasarkan kriteria SPTM akan menerima insentif RM50,000 setiap satu.

“Ini bukan sekadar angka atau wang ringgit tetapi suntikan motivasi agar institusi tahfiz terus mempertingkatkan kualiti dan menjadi model kecemerlangan tahfiz Malaysia,” katanya lagi.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Himpunan Huffaz 2025 dan Simfoni Dakwah Nusantara bertemakan Warisan Qurani, Membina Generasi Rabbani di Masjid Tuminah Hamidi pada Ahad.

Ahmad Zahid berkata, usaha memperkukuh institusi tahfiz selari dengan hasrat kerajaan melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja menguasai al-Quran tetapi turut memiliki sahsiah, ilmu dan kemahiran kepimpinan.

Untuk info, SPTM diperkenalkan sebagai standard nasional bagi menyelaras pengiktirafan institusi tahfiz, sekali gus memastikan pendidikan tahfiz berkembang secara mampan, berkualiti dan relevan dengan keperluan semasa negara.

Anda Mungkin Berminat