SERDANG: Pentas e-sukan Malaysia sekali lagi menyaksikan kehebatan luar biasa apabila SRG OG mengekalkan dominasi mereka dengan menjuarai MPL Malaysia musim ke-16.
Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di MAEPS Serdang, Selangor, pasukan itu menewaskan CG Esports dengan keputusan mutlak 4-0, sekali gus melengkapkan rekod bersejarah sebagai juara empat musim berturut-turut sejak musim ke-13.
Kejayaan itu lebih manis apabila SRG OG menutup musim dengan rekod tanpa kalah, menjadikan mereka pasukan pertama dalam sejarah MPL Malaysia yang berjaya mengekalkan prestasi sempurna sepanjang kejohanan.
Dari peringkat liga di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, hingga ke pentas ‘playoff’, mereka tampil konsisten dengan strategi mantap dan semangat juang yang tidak pernah luntur.
Sorakan ribuan peminat di MAEPS Serdang bergema apabila SRG OG mengangkat trofi kejuaraan, menandakan satu era baharu dalam e-sukan Malaysia.
Dengan hadiah keseluruhan bernilai USD 100,000, MPL Malaysia musim ke-16 bukan sekadar kejohanan tetapi pentas yang melahirkan legenda.
Kemenangan SRG OG bukan sahaja mengukuhkan kedudukan mereka sebagai kuasa besar e-sukan Malaysia, malah menegaskan dominasi mereka di rantau Asia Tenggara selepas kejayaan di Mid Season Cup (MSC) 2024.
Era keemasan SRG OG kini terukir dalam sejarah dan kejayaan empat kali berturut-turut ini menjadi simbol disiplin, strategi serta semangat juang yang sukar ditandingi.
Bagi pasukan lain, cabaran semakin besar untuk menyaingi gergasi yang sedang membina dinasti dalam dunia Mobile Legends: Bang Bang.








