Subsidi RM19.5 Juta Ringan Beban Tiket Penerbangan Ke Sabah, Sarawak Dan Labuan – Menteri

PARLIMEN | Kerajaan MADANI terus komited memastikan rakyat dari Sabah, Sarawak dan Labuan dapat pulang ke kampung halaman dengan tambang berpatutan sempena musim perayaan, menerusi peruntukan subsidi tiket penerbangan sebanyak RM19.5 juta bagi tahun 2025.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu merupakan kesinambungan program subsidi yang mula dilaksanakan pada tahun 2024, sebagai usaha meringankan beban kewangan rakyat dan memperkukuh hubungan antara wilayah.

“Tanpa subsidi ini, harga tiket penerbangan sehala ke Sabah dan Sarawak boleh mencecah sehingga RM1,000 bergantung kepada permintaan dan masa tempahan,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Menurut beliau, harga siling tiket sehala ditetapkan pada RM499 untuk empat hari sebelum musim perayaan, manakala kos selebihnya akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Menurut beliau, langkah itu membolehkan lebih ramai rakyat Borneo menikmati perjalanan pulang yang lebih mampu milik terutamanya ketika sambutan Tahun Baru Cina, Aidilfitri, Gawai, Pesta Kaamatan dan Krismas.

Anthony turut memaklumkan bahawa pada tahun lalu, kerajaan telah membelanjakan RM11 juta bagi menampung subsidi 26,993 tiket penerbangan yang melebihi harga siling RM599, menjadikan harga maksimum yang dibayar penumpang kekal terkawal.

Bagi tahun 2025, sebanyak 39,744 tiket telah disubsidikan dengan purata RM491 bagi setiap tiket iaitu peningkatan ketara yang menunjukkan keberkesanan program itu dalam memenuhi keperluan rakyat.

“Langkah itu membantu meringankan beban kewangan rakyat dan menggalakkan pergerakan antara wilayah dengan lebih seimbang, selaras dengan semangat Malaysia MADANI,” ujar Anthony.

Beliau turut menjelaskan bahawa kementeriannya akan berbincang dengan syarikat penerbangan bagi mencari kaedah terbaik memaklumkan kepada penumpang jumlah subsidi yang dinikmati mereka, agar kesedaran terhadap usaha kerajaan ini dapat ditingkatkan.

Anda Mungkin Berminat