PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Shah menzahirkan rasa murka dan kebimbangan terhadap peningkatan kes penipuan pakej haji yang menjejaskan umat Islam di Malaysia.
Menurut Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin, baginda telah menitahkan agar mana-mana individu atau syarikat pelancongan yang terbabit dalam penipuan pakej haji diambil tindakan tegas oleh pihak polis dan berkuasa.
Titah ini dibuat susulan insiden terbaharu yang menggemparkan negara, di mana lebih 80 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah mendapati visa mereka adalah visa pelancong, bukan visa haji yang sah.
“Kes ini dipercayai berpunca daripada pakej haji yang disyaki ditawarkan oleh sindiket tidak bertanggungjawab,” katanya.
Baginda amat kecewa dengan kejadian ini, khususnya kerana ada jemaah haji yang sanggup menjual aset atau tanah mereka demi merealisasikan impian menunaikan rukun Islam kelima.
“Namun, mereka akhirnya menjadi mangsa penipuan pihak yang tidak bertanggungjawab dan segala hasrat untuk sampai ke Tanah Suci musnah begitu sahaja,” katanya.
Lebih memilukan, sindiket penipuan ini dilakukan oleh umat Islam sendiri yang sanggup menipu saudara seagama demi keuntungan peribadi.
Oleh itu, MAIS menyeru semua mangsa penipuan agar segera membuat laporan polis dan memberikan maklumat lengkap supaya tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu serta sindiket yang terlibat.
“Tindakan tegas dengan mengheret mereka ke mahkamah adalah perlu bagi memastikan gejala buruk ini dapat segera dibanteras,” katanya.
MAIS turut menegaskan kepentingan memilih ejen dan syarikat haji yang berlesen serta diiktiraf oleh pihak berkuasa bagi memastikan kelancaran ibadah haji tanpa risiko penipuan.
“Umat Islam yang berhasrat menunaikan haji perlu mendapatkan maklumat melalui saluran rasmi agar ibadah haji berjalan lancar dan keselamatannya terjamin,” kata MAIS dalam kenyataan tersebut.








