Oleh: Aliyaa Azmi
PETALING JAYA: Tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mencari wadah politik baharu tidak wajar dinilai semata-mata daripada sudut kesetiaan kepada parti, sebaliknya harus dilihat sebagai usaha memastikan kelangsungan dan relevansi beliau dalam politik negara.
Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata dalam sistem demokrasi berperlembagaan seperti Malaysia, mana-mana pemimpin bebas menyertai parti pilihan mereka tanpa sebarang sekatan.
Menurutnya, langkah Tengku Zafrul untuk berhijrah parti dilihat tepat pada waktunya demi mempertahankan ‘survival’ politik beliau, selain terus menyumbang kepada pembangunan negara.
“Kalau beliau melompat ke parti lain, itu adalah langkah strategik berdasarkan keperluan semasa. Ia bukan soal tidak setia, tetapi bagaimana seorang pemimpin melihat masa depan dan peluang untuk terus berkhidmat,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.

Dr Tawfik yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Universiti Malaya menjelaskan, berdasarkan prestasi terdahulu, Tengku Zafrul terbukti mampu menggalas tanggungjawab besar termasuk sebagai Menteri Kewangan sebelum ini dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Usaha beliau menarik pelaburan luar dan bekerja keras di peringkat antarabangsa adalah sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan. Justeru, beliau mempunyai nilai tambah yang tinggi untuk mana-mana parti,” jelasnya.
Mengulas kenyataan sesetengah pihak yang menyifatkan tindakan Tengku Zafrul sebagai mengecewakan dari segi moral politik, Dr Tawfik berpandangan kekecewaan seperti itu adalah perkara biasa dalam dunia politik, terutamanya apabila ada pemimpin yang dilihat ‘melangkaui’ hierarki parti.
Namun katanya, moral politik juga harus ditimbang bersama keperluan untuk mencari bakat dan pemimpin berprestasi tinggi demi kestabilan politik dan ekonomi negara.
“UMNO dan mana-mana parti sekalipun harus ambil iktibar agar perkara seperti ini tidak berulang. Parti dibina atas keahlian dan sokongan akar umbi yang perlu dihargai,” katanya.
Dalam konteks Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula, Dr Tawfik berpendapat isu kesetiaan tidak harus menjadi kebimbangan selagi kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal utuh sebagai Perdana Menteri dan Presiden parti.
“Kesetiaan itu bukan semata-mata kepada individu atau parti, tetapi kepada negara dan rakyat. Tengku Zafrul telah menunjukkan komitmen itu sejak enam tahun lalu, walaupun berada dalam pelbagai gabungan kerajaan,” katanya.
Tegas beliau, akhirnya setiap pemimpin perlu menilai hala tuju dan masa depan politik masing-masing secara rasional, kerana survival politik turut melibatkan soal masa depan kerjaya dan sumbangan mereka kepada negara.
Baca juga: