KUALA LUMPUR: Usaha membanteras pembuangan sampah haram mencapai kejayaan besar apabila Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) berjaya menutup 3,634 tapak sampah haram di seluruh negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam melalui penguatkuasaan Akta 672.
“Sehingga Oktober 2025, SWCorp telah melaksanakan operasi penguatkuasaan paling komprehensif sejak Akta 672 dikuatkuasakan dengan menutup 3,634 tapak sampah haram di 7 negeri dan membersihkan 1,530 tan sisa pepejal melibatkan kos sebanyak RM406,500.
“Melalui 4,268 operasi risikan, sebanyak 22 kes pembuangan haram berjaya dibawa ke mahkamah dengan jumlah denda RM385,000, selain 185 kenderaan disita sejak 2015 termasuk 23 kenderaan pada 2025 yang turut melalui proses pelucuthakan mengikut keperluan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Sentuhan Kejayaan SWCorp KPKT: Operasi Pembasmian dan Penutupan Tapak Sampah Haram 2025.
Sepanjang tahun ini katanya, SWCorp turut memperkukuh pemantauan dengan pemasangan 47 unit CCTV di lokasi panas, yang berjaya mengesan 8 kes pembuangan haram untuk tindakan segera.
Menurut beliau, pendekatan bersepadu juga diperkukuh melalui kerjasama strategik bersama PDRM, JAS dan MYSA bagi meningkatkan kecekapan operasi dan risikan.
Nga berkata, SWCorp melaksanakan Pelan Penutupan Tuntas untuk tapak sampah haram kategori kompleks, termasuk tanah persendirian serta sisa industri dan pembinaan.
Selain itu katanya, Unit Peronda Elit SWCorp dengan 100 motosikal berkuasa tinggi mula beroperasi Disember ini bagi rondaan di kawasan panas dan lokasi sukar dicapai.
Dalam operasi pasca banjir bulan lalu, beliau berkata, SWCorp mengerahkan 928 anggota kerja dan 304 unit jentera, melaksanakan pembersihan serta melupuskan 1,156.57 tan sisa.
“Usaha yang dijalankan ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memastikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dilaksanakan secara teratur dan sistematik,” ujarnya.








