Tadika Kampung Angkat MADANI Di Kampung Chengal Lempong Siap Sepenuhnya

KUALA LUMPUR: Bangunan serbaguna baharu di Kampung Chengal Lempong yang dibangunkan melalui inisiatif Kampung Angkat MADANI kini siap sepenuhnya dan telah mula digunakan sebagai tadika untuk anak-anak penduduk setempat.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, yang hadir meninjau kemudahan tersebut, sempat beramah mesra dengan murid-murid tadika serta melihat sendiri suasana pembelajaran mereka dalam persekitaran yang lebih selesa.

“Saya sangat gembira melihat anak-anak belajar dalam persekitaran yang lebih selesa dan kondusif. Semoga mereka dapat menikmati kemudahan ini sepenuhnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Beliau berkata, bangunan serbaguna itu dibina dengan peruntukan sebanyak RM600,000 di bawah inisiatif Kampung Angkat MADANI.

“Pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan desa melalui inisiatif ini, mencerminkan keutamaan kerajaan dalam memperkasa kemudahan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Ahmad Farhan turut berharap penduduk Kampung Chengal Lempong dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan tersebut bukan sahaja untuk pendidikan tetapi juga bagi pelbagai aktiviti masyarakat pada masa hadapan.

“Inisiatif seperti ini menunjukkan bagaimana dasar Kerajaan MADANI diterjemahkan terus kepada manfaat rakyat khususnya di kawasan luar bandar, sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat,” katanya.

Beliau juga menggalakkan penyertaan aktif komuniti agar bangunan serbaguna ini terus berfungsi sebagai pusat pendidikan, sosial dan kebajikan yang memberi impak berterusan kepada penduduk kampung.

Anda Mungkin Berminat