Tahap IPU tidak sihat, semua aktiviti di luar KMS dihenti sementara

Oleh: Tyah Helmi

BANTING: Semua aktiviti luar bilik darjah dan luar bangunan di Kolej Matrikulasi Selangor (KMS) diarah untuk dihentikan buat sementara waktu susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan Banting yang melebihi paras 150, iaitu pada tahap tidak sihat.

Menerusi satu kenyataan media hari ini, pihak Pengurusan Pelajar KMS berkata larangan itu berkuat kuasa serta-merta bermula hari ini sehingga dimaklumkan kelak.

“Langkah tersebut diambil sebagai langkah berjaga-jaga demi memastikan kesihatan dan keselamatan seluruh warga kolej terpelihara.

“Sehubungan itu, para pelajar juga diingatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga seperti memakai pelitup muka apabila berada di luar bilik, mengurangkan aktiviti luar bilik atau bangunan dan memastikan pengambilan air kosong yang mencukupi,” kata kenyataan itu pada Ahad.

Pihak kolej turut menegaskan bahawa semua pelajar dan warga kampus diminta untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan. Sebarang perubahan atau makluman lanjut akan disampaikan dari masa ke semasa.

Difahamkan, antara kawasan yang dicatatkan mempunyai kadar kualiti udara terburuk pada ketika ini adalah Nilai di Negeri Sembilan, Johan Setia dan Banting di Selangor, Alor Gajah, Melaka, Putrajaya dan Temerloh di Pahang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat