Tahun 2026, Kerajaan MADANI Tekad Lebih Berani Laksana Penguatkuasaan Tangani Isu Bahasa Dan Kaum

PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI akan melangkah lebih berani mulai 2026 khususnya dalam aspek penguatkuasaan serta menangani isu berkaitan bahasa dan kaum yang sekian lama dianggap sensitif dan berpotensi mencetuskan kontroversi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selepas hampir tiga tahun menumpukan usaha memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan, kerajaan kini berada pada kedudukan lebih kukuh untuk berdepan isu-isu tertangguh secara tegas demi kepentingan rakyat dan negara.

Menurut beliau, tempoh tersebut menyaksikan kerajaan berjaya mengekalkan kestabilan politik meskipun berdepan kebimbangan awal mengenai ketahanan pentadbiran, di samping mula memperkenalkan pembaharuan struktur penting termasuk Akta Tanggungjawab Fiskal, rasionalisasi subsidi serta langkah pembaharuan institusi.

“Saya berpendapat mulai tahun hadapan, sudah tiba masanya untuk kita melangkah dengan lebih berani.

“Isu-isu yang tertangguh perlu ditangani dengan lebih tegas dan berani,” katanya ketika taklimat media bersama ketua-ketua pengarang media tempatan dan antarabangsa, di sini, Rabu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, fasa seterusnya pentadbiran kerajaan akan memberi penekanan kepada keberkesanan agensi penguat kuasa, ketegasan dalam mengambil tindakan serta pematuhan sepenuhnya terhadap proses dan peraturan tanpa sebarang kompromi.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa kerajaan tidak boleh tunduk kepada naratif songsang atau suara sumbang yang mengeksploitasi isu kaum dan agama sehingga berpotensi menggugat keharmonian serta kestabilan negara.

“Kerajaan perlu berdepan dengan lebih tegas dan tidak berlapik dalam isu berkaitan kaum, bahasa dan ekonomi.

“Kita tidak boleh terus bermain dengan sentimen perkauman atau agama yang akhirnya menghalang kemajuan negara,” katanya.

Pendekatan lebih berani itu, tegas Anwar, merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan tadbir urus yang adil, berprinsip dan berteraskan kepentingan semua rakyat Malaysia.

Anda Mungkin Berminat