Pegawai dan anggota polis diingatkan agar tidak menjadikan pangkat untuk bermegah-megah kerana perkara itu merupakan amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, peringatan itu ditujukan kepada pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jelasnya, pegawai kanan perlu mengingati tentang pembalasan yang akan diterima di alam kubur serta pembalasan di Padang Mahsyar sekiranya amanah diberikan tidak dilaksana dengan rasa tanggungjawab.
“Walau sebesar mana pangkat kita, setinggi mana nama kita, kita akan pergi juga, saya juga akan pergi. Cumanya kita tidak tahu berapa lama kita akan hidup dan bila malaikat maut akan menjemput kita.
“Hanya amalan dan nama baik akan kita tinggalkan dan dibangga oleh anak cucu kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemakaian Lencana Pangkat dan Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Polis (PERKEP) di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Yang turut hadir Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, Datin Sri Zalena Mohd Ariffin.
Sementara itu, Komisioner Polis (CP) Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad kini dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) yang baharu.
Beliau menggantikan Datuk Seri Aidi Ismail yang akan bersara pada 1 Januari ini.
Pada majlis itu, Ayob Khan turut mengucapkan tahniah kepada Wan Hassan yang dinaikkan pangkat manakala Aidi yang akan bersara wajib.
Baca juga: