PETALING JAYA: Pejabat Perdana Menteri (PMO) menjelaskan bahawa taklimat harian Perdana Menteri bukan bertujuan untuk menggantikan peranan Jurucakap Kerajaan yang diketuai oleh Fahmi Fadzil.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah menjelaskan bahawa taklimat harian itu melengkapkan dan memperkukuh struktur komunikasi kerajaan.
“Dengan strategi komunikasi yang lebih menyeluruh, kerajaan dapat memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat.
“Di samping mencantas fitnah dan maklumat palsu dengan pantas dan berkesan,” katanya menerusi siaran langsung video taklimat harian PMO.
Mengulas lanjut, beliau berkata, taklimat tersebut memberi tumpuan kepada aktiviti harian dan gerak kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelasnya, ia termasuk penjelasan mengenai isu-isu semasa yang mendesak serta arahan kepada kementerian dan agensi untuk melaksanakan dasar kerajaan dengan berkesan.
“Sementara itu, Fahmi Fadzil bertanggungjawab menjelaskan isu-isu berkaitan dasar-dasar kerajaan dan keputusan-keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri,” ujarnya.