Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Taubat bukan hanya sekadar di bibir tetapi biarlah dengan keinsafan yang sebenar, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Menurutnya, pemimpin-pemimpin parti PAS sering mengangkat diri sebagai pejuang Islam tetapi mereka saban hari menabur fitnah tanpa rasa bersalah.
“Kita telah melihat bagaimana pemimpin-pemimpin PAS termasuk Ahli Parlimen Kepala Batas (Dr Mastura), Razman Zakaria dan ramai lagi mengulangi fitnah dalam ceramah-ceramah mereka.
“Walaupun telah disaman dan disabitkan kesalahan di mahkamah, namun mereka terus mengulangi perkara yang sama tanpa rasa insaf,” katanya dalam satu kenyataan.
Taufiq turut mempersoalkan keberadaan Presiden (Tan Sri Abdul Hadi Awang) dan Timbalan Presiden PAS (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) ketika pemimpin mereka menyebarkan fitnah serta teguran daripada ulama-ulama dalam PAS yang sepatutnya menegur tindakan tersebut.
“Di manakah ulama-ulama dalam PAS yang sepatutnya menegur? Jika mereka benar-benar berpegang pada ajaran Islam, mengapa mereka diam membisu apabila fitnah menjadi budaya dalam parti mereka?” soalnya.
Beliau menegaskan bahawa sikap hipokrit itu tidak boleh dinormalisasikan selain tidak memberi muka kepada pemimpin PAS yang menjadikan fitnah sebagai alat politik hanya kerana mereka mendakwa perjuangan mereka atas nama Islam.
“Islam tidak menghalalkan fitnah dan pembohongan walau dengan apa alasan sekalipun.
“Sudah tiba masanya PAS benar-benar bertaubat. Bukan hanya bercakap soal dosa dan pahala ketika ia menguntungkan mereka tetapi mengamalkannya dalam kehidupan dan politik mereka sendiri.
“Islam mengajar kita tentang kebenaran dan keadila dan bukan menggunakan agama untuk menghalalkan kejahatan,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man telah memuat naik satu hantaran di Facebooknya mengenai kesilapan dan kemaafan dalam Islam.
Dalam hantaran tersebut beliau menyatakan bahawa mutakhir ini memohon maaf seolah-olah ianya boleh menjatuhkan maruah dan dianggap perbuatan keji.
Inilah yang terjadi dalam kehidupan seharian, apatah lagi dalam zaman digital, katanya.
Baca juga: