IPOH: Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari mengambil kesempatan sempena lawatan kerja di bandar ini untuk menziarahi beberapa atlet veteran negara yang pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas sukan antarabangsa.
Antara tokoh sukan yang diziarahi ialah legenda bola sepak tanah air, M Karathu; bekas atlet wushu, Ng Fook Huat; bekas atlet olahraga, Masmudin serta bekas perenang negara, Cheah Tong Kim.
Menurut Taufiq, lawatan berkenaan diadakan selepas beliau dimaklumkan mengenai keadaan kesihatan dan kebajikan beberapa atlet terbabit yang kini berdepan cabaran kehidupan.
“Nama M Karathu bukan asing dalam arena bola sepak negara dan beliau kekal sebagai figura yang disegani sehingga kini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Beliau turut memaklumkan bahawa Ng Fook Huat dan Masmudin sedang berdepan masalah kesihatan yang menjejaskan rutin harian, manakala Cheah Tong Kim kini berada di bawah penjagaan sebuah rumah kebajikan.
“Mereka merupakan atlet veteran yang pernah menyumbang pelbagai kejayaan dan pingat kepada negara suatu ketika dahulu.
“Justeru, kami tampil menyantuni mereka dan menghulurkan sumbangan agar dapat meringankan beban yang ditanggung,” katanya lagi.
Sehubungan itu,Taufiq berkata, pihaknya akan terus memberi perhatian terhadap kebajikan bekas atlet sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka kepada negara.
Dalam perkembangan sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan atas komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan bekas atlet negara.
“Terima kasih kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan yang sentiasa cakna dan prihatin terhadap kebajikan para atlet,” ujarnya.
Baca juga:








