PM yakin sokongan padu Sabah, Sarawak

Sokongan padu yang diberikan Sarawak membuatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin bahawa usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan tidak akan berjaya.

Katanya, pertemuan dengan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bertegas mengekalkan Kerajaan Perpaduan sehingga pilihan raya umum akan datang berlaku.

“Dalam senario politik semasa ini, peranan atau pendirian GPS itu agak kritikal kerana hanya dengan kenyataan dan dukungan parti utama Sarawak (GPS) dan Sabah (GRS) yang akan memungkinkan perubahan itu (kerajaan) berlaku.

“Kalau ada sedikit sebanyak percubaan tebuk atap, ia akan hanya berasas sekiranya ada ruang yang diberikan kedua-dua negeri (Sarawak dan Sabah).

“Saya pilih majlis ini untuk menyampaikan bahawa kes tebuk atap kalau nak digunakan lagi (naratif) dukungan Sabah dan Sarawak, ia terbatal secara sendirinya,” katanya pada Sabtu.

Tambah Anwar, terdapat beberapa cubaan mendesak Abang Johari dan parti agar melakukan perubahan.

Bagaimanapun, Abang Johari dan partinya, Premier Sarawak bertegas menolak segala cubaan tersebut dengan tegas.

“Katanya dalam beberapa pertemuan terakhir ada percubaan itu dan beliau secara konsisten menolak dengan tegas bahawa tidak akan melayani sebarang perbincangan untuk meretakkan hubungan Sarawak dan Persekutuan serta hubungan dengan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata hubungan yang baik antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan jelas menunjukkan kerajaan yang ada pada masa ini adalah kukuh.

“Selepas setahun, kerajaan adalah stabil dan kerjasama antara parti-parti, Pakatan Harapan, Barisan Nasional, GPS dan GRS lebih kukuh.

“Saya tidak pernah menemui sebarang masalah serius dalam usaha kami melakukan perubahan atau membuat reformasi.

“Dan saya lebih yakin sekarang selepas setahun dengan pengalaman itu, beberapa pelarasan dalam Kabinet kami mampu mara ke hadapan dengan kepastian dan kepantasan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat