Johor Bahru: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan bahawa kritikan lantang Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli bukan satu bentuk pengkhianatan, sebaliknya usaha untuk memperkukuhkan kekuatan parti.
Menurutnya, walaupun teguran Rafizi agak keras, ia perlu dilihat sebagai peringatan yang membina, bukan sebagai ancaman kepada kesatuan parti.
“Dia (Rafizi) tegur agak sedikit terlanjur, ya, tetapi dia bukan khianat. Dia nak kuatkan parti.
“Saya ada pandangan tapi tak sekeras Rafizi, degil dan keras kepala pun lebih kurang saja,” katanya semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR 2024/2025 di Persada Johor International Convention Centre, malam tadi.
Anwar turut mengingatkan agar kritikan tidak disalah tafsir sebagai bibit perpecahan seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
“Pengalaman kita dulu lain. Sebelum pertandingan, bibit khianat sudah mula.
“Jangan samakan dengan isu Rafizi. Nak tegur, tegurlah, tapi jangan lupa kekuatan dan pengorbanan mereka seperti Rafizi dan Nurul Izzah,” ujarnya.
Terdahulu, Pemilihan PKR menyaksikan pertandingan dua penjuru bagi jawatan Timbalan Presiden antara Rafizi Ramli dan Nurul Izzah sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi termasuk kebimbangan kemungkinan berulangnya senario ‘Langkah Sheraton’.
Mengulas lanjut, Anwar menyeru seluruh kepimpinan dan akar umbi supaya kembali bersatu demi perjuangan parti yang lebih besar daripada mana-mana individu.
“Yang menang, menanglah, tetapi yang tak menang bukan kalah.
“Saya akan rangkul semuanya. Perjuangan ini lebih besar daripada Anwar,” katanya sambil mengingatkan bahawa masa terus berlalu dan perjuangan mesti diteruskan.