TH ambil langkah proaktif bendung penipuan scammer

Lembaga Tabung Haji (TH) mengambil langkah proaktif dengan membekukan akaun pendeposit yang menjadi mangsa penipuan scammer bagi mengelakkan berlaku kerugian yang lebih besar.

Menurut kenyataan TH pada Rabu, berkata, tindakan pembekuan akaun dilakukan melibatkan seorang pendeposit apabila mendapati terdapat transaksi yang mencurigakan.

“Merujuk kepada kes pengeluaran tidak sah yang dilaporkan di media, TH mendapati bahawa pendeposit terlibat merupakan mangsa penipuan scammer di mana sejumlah RM12,000 telah dipindahkan melalui lima transaksi dalam masa empat hari.

“Namun begitu, TH telah membekukan akaun (mangsa) tiga hari sebelum aduan dibuat,” katanya.

Tular sebelum ini seorang bilal masjid berputih mata apabila wang berjumlah RM12,000 dalam akaun TH miliknya didakwa dipindah tanpa kebenaran pada Februari lalu.

Timbalan Ketua Polis Hulu Selangor, Deputi Superintenden Mohd Asri Mohd Venus berkata, laporan dibuat mangsa pada 26 Februari lalu melibatkan kes wang simpanan TH yang didakwa berkurangan.

TH menegaskan, pihaknya juga sedang melakukan siasatan ke atas perkara berkenaan dan akan sentiasa bekerjasama dengan polis dalam sebarang siasatan ke atas kes penipuan siber.

Berikutan itu, TH sekali lagi mengingatkan orang ramai untuk tidak membuka mana-mana mesej dan hantaran yang meragukan atau berkongsi data peribadi dengan mana-mana pihak.

“TH ingin menegaskan bahawa platform atas talian THiJARI telah dibangunkan dengan ciri keselamatan yang menepati amalan terbaik di pasaran.

“Aplikasi THiJARI dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan antaranya nama pengguna, kata laluan yang dienkripsi serta gambar keselamatan untuk memastikan aplikasi tersebut disambung ke laman web rasmi THiJARI,” ujarnya.

Jelasnya, kepada pendeposit yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, pendeposit boleh berhubung dengan Pusat Panggilan TH (THCC) menerusi talian 03-6207 1919.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat