Thailand dan Kemboja Perlu Tunjuk Kawalan Diri, Kekalkan Komunikasi Terbuka – Anwar

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa Thailand dan Kemboja menunjukkan kawalan diri maksimum serta memanfaatkan sepenuhnya semua mekanisme diplomatik sedia ada bagi meredakan ketegangan di sempadan kedua-dua negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penegasan itu menjadi inti pati kenyataan Anwar susulan laporan pertempuran bersenjata terbaharu antara pasukan dua negara jiran ASEAN itu.

Anwar berkata, sebagai rakan rapat Malaysia dan anggota penting ASEAN, kedua-dua negara perlu mengekalkan saluran komunikasi terbuka serta mengelakkan tindakan yang boleh mencetuskan eskalasi konflik.

“Malaysia menggesa kedua-dua pihak menunjukkan tahap budi bicara yang maksimum, mengekalkan komunikasi dan menggunakan sepenuhnya mekanisme yang ada.

“Malaysia juga bersedia membantu usaha memulihkan keadaan dan mengelakkan insiden lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Anwar turut menzahirkan rasa dukacita kepada keluarga mangsa yang terkorban atau cedera akibat pertempuran tersebut, dan mengingatkan bahawa konflik berulang berisiko menggagalkan usaha yang telah lama dibina untuk menstabilkan hubungan dua negara berkenaan.

“Rantau ini tidak mampu berdepan pertikaian lama yang berubah menjadi kitaran konfrontasi, sambil menggariskan keutamaan mendesak: menghentikan pertempuran, melindungi orang awam serta kembali ke meja diplomasi berlandaskan undang-undang antarabangsa dan semangat kejiranan ASEAN,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat