Thailand jadi destinasi ‘makan angin’ lebih 80,000 rakyat Malaysia

Pesta makanan Thailand yang kerap dianjurkan di beberapa pusat beli-belah nyata tidak dapat menyekat rakyat tempatan daripada bercuti ke negara Gajah Putih itu apabila Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam, Kedah penuh sesak sejak Jumaat lalu.

Kata Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain, musim cuti sekolah, cuti umum dan cuti hujung minggu antara perkara yang mendorong kesesakan luar biasa itu berlaku.

Ujarnya, sejak cuti sekolah bermula Jumaat lalu, seramai 78,301 pengembara didapati keluar masuk menggunakan laluan ICQS Bukit Kayu Hitam, manakala 4,379 melalui ICQS Kota Putra untuk bercuti di Thailand.

“Kesesakan ini berlaku disebabkan orang ramai ingin menghabiskan waktu cuti bersama keluarga.

“Destinasti pilihan pengembara ini adalah ke Hatyai, Thailand yang menjadi ‘syurga makanan’ untuk pelancong dari negara ini yang dikatakan lebih murah dan sedap.

“JIM Kedah sentiasa bersedia menerima kedatangan pelancong dengan membuka empat hingga enam kaunter untuk kereta bergantung kepada kesesakan pada waktu itu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kesesakan dijangka akan terus meningkat sepanjang musim cuti sekolah dan cuti sambutan Krismas, hujung minggu ini.

“Justeru, saya menasihatkan semua penggembara supaya merancang waktu perjalanan dan menyemak dokumen perjalanan terlebih dahulu untuk mengelakkan kesulitan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat