Thailand, Kemboja tandatangani ‘KL Peace Accord’ disaksikan Anwar dan Trump

KUALA LUMPUR: Thailand dan Kemboja hari ini mencatat sejarah baharu apabila menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Peace Accord), sekali gus menamatkan ketegangan berlarutan di kawasan sempadan kedua-dua negara.

Upacara pemeteraian bersejarah itu berlangsung di luar acara Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN 2025, serta Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, yang menzahirkan komitmen kedua-dua negara untuk memulihkan keamanan, memperkukuh kerjasama sempadan dan membina keyakinan serantau.

Turut hadir menyaksikan majlis berkenaan ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Hadir sama, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, serta Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan.

Malaysia yang memegang tampuk Pengerusi ASEAN buat kali kelima sejak penubuhan badan serantau itu pada 1967, sekali lagi memainkan peranan penting sebagai pemudah cara keamanan dan diplomasi serantau, selepas kali terakhir menjadi tuan rumah pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat