Thaksin Shinawatra Dibebas Awal

BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, akhirnya melangkah keluar dari penjara pagi Isnin selepas dibebaskan lebih awal daripada hukuman setahun yang dijatuhkan ke atasnya atas kesalahan rasuah.

Tokoh politik berpengaruh itu, yang juga bilionair telekomunikasi, kini menjalani tempoh percubaan selama empat bulan dengan pemantauan elektronik.

Thaksin dilihat keluar sekitar pukul 7.40 pagi waktu tempatan, berambut pendek dan berbaju putih ringkas, sebelum disambut oleh ahli keluarganya termasuk anak perempuannya, Paetongtarn Shinawatra.

Suasana di luar penjara bertukar meriah apabila ratusan penyokong setia berbaju merah berkumpul sejak awal pagi, melaungkan slogan “Kami sayang Thaksin” sambil menunggu kepulangan figura yang dianggap simbol perjuangan mereka.

Thaksin sempat memeluk keluarganya dan melambai kepada penyokong, namun memilih untuk tidak memberi kenyataan kepada media sebelum beredar menaiki kenderaan.

Sejak dua dekad lalu, pengaruh politik Thaksin menjadi cabaran besar kepada kelompok elit pro-tentera dan institusi diraja Thailand.

Pendekatan populis beliau termasuk dasar kebajikan rakyat dan akses kesihatan murah sering dianggap ancaman terhadap struktur sosial tradisional negara itu.

Anda Mungkin Berminat