‘The Pocket Rocketman’ percaya ‘The Terminator’ dapat lakukan lebih baik di LA2028

Oleh: Wahida Ramlan

PETALING JAYA: Atlet berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang memberikan kepercayaan penuh kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom selepas melihat aksi cemerlangnya di pentas Olimpik Paris 2024.

Menerusi hantaran di Instagramnya pada Isnin, beliau menyatakan bahawa anak kelahiran Muar itu mampu mencipta kejutan di kejohanan Olimpik yang seterusnya.

“Untuk memasuki pusingan akhir (final) keirin di Sukan Olimpik bukanlah suatu yang mudah, itu adalah fakta. Ketika Olimpik Tokyo beliau terkandas di pusingan suku akhir dan penampilan kali ini di Paris beliau berada di pentas akhir adalah salah satu prestasi yang amat cemerlang.

“Memasuki baki 100 meter perlumbaan, Shah datang dengan kelajuan yang meyakinkan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa namun berlaku himpitan di selekoh terakhir yang menyebabkan beliau terjatuh.

“Satu persembahan yang kita perlu bangga dan saya berharap Shah akan terus bekerja keras untuk meningkatkan prestasi dari masa ke semasa untuk terus kekal cemerlang di peringkat antarabangsa.

“Paling penting adalah untuk menggunakan empat tahun dari sekarang sebaik mungkin untuk mempersiapkan diri ke temasya Sukan Olimpik Los Angeles (LA 2028). Mungkin bunyinya terlalu awal akan tetapi itulah realitinya apabila kita bergelumang di peringkat tertinggi ini,” katanya.

Dalam pada itu, Azizulhasni percaya bahawa prestasi Shah Firdaus akan jauh lebih baik dan dapat memberikan persembahan yang lebih cemerlang di LA 2028 nanti.

Semalam, Shah Firdaus hampir mendapatkan pingat gangsa sebelum dilanggar oleh pelumba Jepun Shinji Nakano yang mengakibatkan beliau terjatuh dan menamatkan saingan pada kedudukan keenam (relegated).

Malaysia secara rasmi menamatkan kempen di Olimpik Paris 2024 dengan dua pingat gangsa menerusi acara badminton.

Anda Mungkin Berminat