Tiada Isu Kecil Hati Berhubung Ketidakhadiran Jemputan – AMK

Johor Bahru: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim berkata, tiada isu ‘kecil hati’ berhubung ketidakhadiran beberapa jemputan dalam Kongres Nasional AMK 2025 yang berlangsung di Berjaya Waterfront Hotel, hari ini.

Ketika ditanya mengenai ketidakhadiran Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli pada Majlis Perasmian Kongres Nasional AMK semalam serta wakil komponen kerajaan dari Barisan Nasional (BN) pada hari ini, beliau berkata bahawa jemputan telah diberikan kepada semua pihak.

“BN tiada, Gabungan Parti Sarawak (GPS) ada… kita sudah jemput semua. Mungkin ada banyak kekangan. Tiada komen dan tiada isu.

“Pun sudah jemput (Rafizi). Memang kita diberitahu bahawa beliau tidak dapat memenuhi jemputan, jadi kita teruskan (majlis perasmian) dengan Setiausaha Agung. Tidak ada kecil hati,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Ucapan Dasar pada Kongres Nasional AMK 2025.

Turut hadir dalam kongres tersebut ialah Timbalan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim.

Kongres Nasional AMK 2025 dihadiri lebih 2,000 perwakilan dari 206 cabang parti.

Ketika menjawab persoalan mengenai kemungkinan berlakunya perpecahan selepas Pemilihan PKR kali ini, Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan yakin bahawa situasi itu tidak akan berlaku berdasarkan pengalaman pemilihan sebelumnya.

“Perpecahan hanya kita sebut andai selepas pemilihan itu tiada usaha rekonsiliasi.

“Saya pernah melalui tempoh pemilihan, memang akan tegang, runcing dan tajam. Paling mustahak ialah bagaimana selepas pertembungan itu, kita tautkan kembali.

“Pemilihan PKR terbuka, sebab itu ia dilihat panas. Namun, saya memberi jaminan bahawa semua yang bertanding ini adalah orang sangat setia dengan perjuangan parti.

“Malah, mereka bertelagah soal siapa yang paling setia dengan perjuangan parti,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu, beliau yakin usaha pendamaian akan dilakukan melibatkan semua pihak yang bertelagah khususnya dalam kempen pemilihan kali ini.

Anda Mungkin Berminat