PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong menegaskan beliau tidak pernah membuat sebarang pengumuman dasar mengenai had penggunaan petrol sebanyak 150 liter sebulan seperti yang tular sebelum ini.
Menurut beliau, kenyataannya dalam sesi Fireside Chat anjuran AFFIN Bank telah dipetik di luar konteks sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat serta media.
“Saya kesal kerana kenyataan saya telah mencetuskan salah faham dan berharap semua pihak dapat memahami konteks penuh apa yang sebenarnya saya katakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Beliau menjelaskan bahawa tiada sebarang pengumuman baharu dibuat bagi pihak kerajaan berkaitan dasar tenaga atau cadangan pelaksanaan had penggunaan bahan api tersebut.
Sebaliknya, katanya, penjelasan yang diberikan hanya menyentuh mengenai mekanisme BUDI95 yang dianggap berkesan dalam menyediakan data menyeluruh bagi memahami corak perjalanan harian rakyat Malaysia.
“Apa yang saya jelaskan adalah BUDI95 merupakan mekanisme yang baik kerana ia memberikan data menyeluruh untuk memahami corak perjalanan harian rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Chin Tong berkata keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan bekalan petrol negara dapat bertahan dalam tempoh yang lebih lama melalui usaha penjimatan penggunaan bahan api.
“Masyarakat kita mesti memastikan bekalan petrol dapat bertahan untuk tempoh paling lama dan kita perlu membina konsensus untuk menyokong usaha penjimatan penggunaan petrol,” ujarnya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu memaklumkan data semasa menunjukkan majoriti rakyat Malaysia menggunakan petrol di bawah paras yang dicadangkan.
“Data secara konsisten menunjukkan 80 peratus rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter.
“Dan saya rasa perkara seterusnya ialah sama ada kita perlu mengurangkan sedikit kuota bagi membolehkan BUDI95 digunakan sebagai alat pengurusan permintaan,” katanya.
Sebelum ini, BUDI95 memperuntukkan kuota 300 liter sebelum kerajaan menyelaraskannya kepada 200 liter bermula April lalu pada kadar RM1.99 seliter.
Kos subsidi bahan api kerajaan turut meningkat hampir 10 kali ganda susulan kenaikan harga minyak mentah akibat konflik geopolitik di Asia Barat sejak akhir Februari lalu.
Baca juga:







