Tiada rumah terbuka Aidilfitri bukti Kerajaan prihatin rakyat – Lee Lam Thye

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Kerajaan Madani terus menunjukkan keprihatinanya kepada kebajikan rakyat menerusi langkah penjimatan penuh berhemah.

Aktivis kemasyarakatan, Tan Sri Lee Lam Thye menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuat keputusan tidak mengadakan rumah terbuka Aidilfitri serta menggesa barisan kabinet untuk mengurangkan lawatan luar negara.

Beliau menyifatkan, inisiatif itu manifestasi kesungguhan usaha Kerajaan Madani dalam menjaga kestabilan kewangan negara di samping memastikan kesejahteraan rakyat terjamin.

Kata beliau, langkah penjimatan itu merupakan strategi wajar khususnya di saat mendepani ketidaktentuan geopolitik yang berlaku di Asia Barat ketika ini.

“Saya rasa keputusan kerajaan untuk berjimat cermat adalah satu tindakan yang sangat bijak.

“Dalam suasana yang penuh ketidaktentuan seperti sekarang, kerajaan perlu memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberi manfaat terbesar kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Khamis.

Lam Thye turut berpandangan bahawa Kerajaan mengamalkan pendekatan “Austerity Drive” iaitu tindakan segera dalam memberi fokus kepada keperluan benar-benar mendesak serta memastikan wang rakyat dapat digunakan dengan sebaik mungkin.

Malah, katanya ia akan disalurkan semula bagi membantu rakyat khususnya golongan miskin tegar dan B40 yang terkesan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Penjimatan bukan bermakna kita tidak boleh berbelanja, tetapi ia adalah cara untuk memastikan setiap perbelanjaan dilakukan dengan berhemah.

“Kita tidak boleh lagi membazir, terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini.

“Fokus utama kerajaan adalah untuk memastikan golongan yang memerlukan dibantu dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut menyambut keputusan Kerajaan yang mengarahkan pengurangan lawatan rasmi ke luar negara oleh para menteri susulan ianya sering melibatkan kos yang amat tinggi.

“Tindakan ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan serius dalam usaha untuk menjimatkan perbelanjaan negara. Kalau menteri-menteri perlu ke luar negara, lebih baik mereka memilih kelas perniagaan daripada kelas pertama.

“Penginapan juga perlu dipilih dengan bijak, tidak perlu di hotel lima atau tujuh bintang.

“Semua ini adalah langkah-langkah kecil yang boleh memberi impak besar dalam mengurangkan kos,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, pembaziran makanan yang berlaku setiap tahun adalah sesuatu yang perlu dihentikan.

“Rumah terbuka memang menjadi tradisi, tetapi kalau kita lihat, banyak makanan yang dibeli tidak dimakan dan akhirnya dibazirkan.

“Ini satu pembaziran yang tidak wajar berlaku.

“Oleh itu, saya sokong keputusan kerajaan untuk tidak mengadakan rumah terbuka tahun ini.

“Fokus perlu diberikan kepada perkara yang lebih penting, seperti membantu golongan yang terkesan,” tambah beliau.

Beliau juga menekankan bahawa walaupun kerajaan melaksanakan langkah penjimatan, ia tidak bermakna kepentingan rakyat diabaikan.

“Keselamatan dan kebajikan rakyat tetap menjadi keutamaan. Kerajaan perlu memastikan segala keperluan rakyat, terutama yang berkaitan dengan keselamatan dan kemudahan asas, tidak terganggu.

“Penjimatan ini adalah untuk memastikan kerajaan dapat membantu golongan yang lebih memerlukan dengan lebih berkesan,” jelasnya.

Menurut beliau, langkah kerajaan Madani ini adalah bukti bahawa kerajaan serius dalam memastikan kestabilan kewangan negara tanpa mengabaikan tanggungjawab sosial mereka terhadap rakyat.

“Ini adalah satu strategi yang bijak untuk memastikan kewangan negara tidak terhimpit, sambil memberi manfaat yang jelas kepada rakyat, terutama golongan yang memerlukan,” ujar beliau.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat