Oleh: Aliyaa Azmi
PETALING JAYA: Golongan akademik tidak wajar dipersalahkan apabila memberi pandangan di luar bidang kepakaran mereka selagi hujah yang dikemukakan berasaskan fakta dan kajian yang boleh dipertahankan.
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan menegaskan bahawa latihan akademik menuntut setiap pandangan disokong dengan data, justeru mereka tetap bertanggungjawab memastikan ketepatan sebelum mengulas apa-apa isu.
“Sebenarnya, tiada isu bagi seorang akademik bercakap di sisi kepakaran beliau kerana lazimnya ia berlandaskan fakta. Para akademik dilatih bahawa apabila bercakap, mesti ada fakta,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Jumaat.
Azmi merujuk kepada video yang melibatkan seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Dr Solehah Yaacob, yang mendakwa bahawa bangsa Rom mempelajari pembinaan kapal daripada orang Melayu.
Menurutnya, pengetahuan silang disiplin amat penting dalam memahami isu kompleks seperti tarif, yang tidak boleh dinilai dari sudut ekonomi semata-mata.
“Hakikatnya, dalam keadaan sekarang, kita tidak boleh biarkan isu seperti tarif dibincang oleh satu pihak sahaja. Ia bukan isu ekonomi semata-mata, tetapi turut melibatkan politik, geopolitik dan alam sekitar,” ujarnya.
Azmi berkata, jika hanya ahli ekonomi diberi ruang mengulas isu tarif, perbincangan menjadi sempit dan kurang menarik, selain tidak memberikan gambaran menyeluruh kepada masyarakat.
“Jika hanya ahli ekonomi bercakap tentang tarif, naratif akan menjadi sempit dan membosankan. Pandangan pelbagai disiplin menjadikan pencerahan itu lebih seimbang dan menyeluruh,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau mengakui kekeliruan timbul apabila terdapat segelintir akademik membuat kenyataan tanpa fakta kukuh, sehingga menjejaskan kredibiliti institusi pendidikan tinggi serta mengundang kritikan awam.
“Masalah timbul apabila pandangan tidak disandarkan pada data. Bahaya jika akademik beri pandangan tanpa fakta kerana ia boleh merosakkan imej dan kepercayaan masyarakat terhadap golongan akademik,” katanya lagi.
Azmi menambah, isu sebenar bukanlah tentang akademik keluar daripada bidang kepakaran, tetapi mengenai kemampuan mempertahan hujah apabila dicabar secara ilmiah.
Baca juga:








