PETALING JAYA: Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) merasa kecewa terhadap kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang mendakwa tiada tanah adat di negeri itu.
Dalam satu kenyataan media, Pengerusi JKOAK, Mustafa Along menyifatkan kenyataan yang dibuat dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 23 April lalu sebagai jahil, tidak bertanggungjawab, mengelirukan dan tidak berlandaskan fakta sebenar.
“Kenyataan Menteri Besar itu bercanggah dengan keputusan-keputusan Mahkamah Tinggi Malaysia yang telah beberapa kali mengiktiraf hak Orang Asli ke atas tanah adat, termasuk kes-kes yang melibatkan negeri Kelantan sendiri.
“Sebagai makluman, di Kelantan terdapat dua kes penting berkaitan tanah Orang Asli iaitu kes Pos Belatim (2017) dan kes Pos Balar. Mahkamah secara jelas telah memutuskan bahawa Orang Asli mempunyai hak terhadap tanah adat mereka,” kata Mustafa.
Tambah beliau, keputusan tersebut menegaskan bahawa tanah dan wilayah adat Orang Asli adalah wujud, bukan sahaja di negeri-negeri lain seperti Perak, Pahang, Selangor dan Johor, tetapi juga di Kelantan.
JKOAK turut menyifatkan kenyataan Menteri Besar itu sebagai satu bentuk penghinaan terhadap mahkamah, memandangkan keputusan mahkamah adalah sebahagian daripada undang-undang yang perlu dihormati dan diikuti.
“Ia mencerminkan keengganan kerajaan, sama ada di peringkat negeri atau persekutuan, untuk mengakui dan menghormati hak-hak Orang Asli walaupun mahkamah telah berulang kali memperjelaskan perkara ini,” ujar Mustafa.
Ujar beliau lagi, ketiadaan ‘political will’ di pihak negeri dan Persekutuan menyebabkan isu ini terus berlarutan tanpa penyelesaian.
“Justeru, kami menggesa pihak kerajaan negeri dan Persekutuan mengambil tindakan sewajarnya untuk mempromosi dan melindungi hak-hak Orang Asli seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Mustafa turut menegaskan bahawa pindaan ke atas undang-undang berkaitan hak tanah Orang Asli perlu dilakukan, termasuk memasukkan istilah tanah adat dalam undang-undang sedia ada.
“Proses pindaan ini juga harus mengadaptasi prinsip-prinsip Keizinan Berasaskan Makluman, Awal, Bebas dan Telus (IMABT),” katanya lagi.
Baca juga: