Tiga lagi sekolah diarah tutup insiden kebakaran kilang di Kulai

JOHOR BAHRU: Kebakaran kilang memproses getah di kawasan perindustrian Sengkang dekat Kulai, Johor Bahru sejak Rabu masih belum reda mengakibatkan tiga lagi sekolah diarah tutup berkuat kuasa semalam.

Menurut Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching, antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Kulai, SK Taman Kota Kulai 2 dan Sekolah Agama Taman Kota Kulai, menjadikan keseluruhan lima institusi pendidikan terjejas setakat ini.

Teo Ni Ching turut memaklumkan bahawa kesemua murid di sekolah berkenaan akan menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga Jumaat ini.

“Berdasarkan maklumat terkini setakat awal pagi ini, terdapat api yang masih dikesan aktif dan pihak bomba sedang giat melaksanakan operasi pemadaman,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin memaklumkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sengkang dan SJKC Kulai Besar turut diarah tutup dengan 1,531 murid di kedua-dua sekolah itu perlu menjalani PdPR. 

Langkah itu susulan masih terdapat asap serta bau pembakaran yang berpotensi menjejaskan kesihatan warga sekolah sekiranya sesi persekolahan diteruskan dalam keadaan semasa.
Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.37 petang Selasa yang melibatkan sebuah stor plastik jenis separuh kekal berukuran 300 x 500 x 80 kaki.

Setakat pagi ini, operasi pemadaman yang melibatkan 34 anggota itu mencapai 90 peratus.

Operasi turut menerima bantuan 11 anggota bersama 20 tong buih berkapasiti 20 liter setiap satu daripada pihak industri, manakala bekalan tambahan termasuk 30 tong foam dari negeri berhampiran digerakkan bagi menyokong operasi.

Kerja-kerja pemunggahan menggunakan empat unit jengkaut turut dilaksanakan bagi memudahkan pemadaman di bahagian bawah timbunan bahan, manakala pemantauan imej termal oleh Unit Dron Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor bagi melihat punca haba yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat