Tiga maut, enam cedera dalam nahas di WCE

Tiga termasuk sepasang suami isteri maut, manakala enam lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 262.5 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Sabak Bernam menghala ke Changkat Jering di Taiping pada Jumaat malam.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail berkata siasatan awal mendapati kemalangan pada kira-kira pukul 10.30 malam yang mengorbankan tiga mangsa berusia antara 36 hingga 73 tahun itu dipercayai berlaku selepas kereta jenis Perodua Bezza dipandu seorang lelaki melanggar bahagian belakang sebuah lori di lorong kiri jalan.

Menurutnya, kereta Honda Civic yang dipandu seorang wanita dari arah belakang kemudian tidak sempat mengelak lalu terlanggar kereta berkenaan.

“Pemandu dan penumpang kereta Perodua Bezza yang merupakan suami isteri meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga penumpang kanak-kanak iaitu anak mereka cedera dengan dua daripadanya parah.

“Pemandu Honda Civic pula mengalami patah kaki kiri serta tangan kanan dan ibunya meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi penumpang kanak-kanak tidak mengalami kecederaan,“ katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pemandu dan kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat mangsa serta mereka yang cedera telah dihantar ke Hospital Taiping.

Difahamkan, ketika kejadian keadaan jalan gelap dan tiada lampu jalan dan siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat