PUTRAJAYA: Kerajaan tidak lagi akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan ketegangan kaum, agama dan budaya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, era teguran dan amaran telah berakhir dan tindakan tegas akan diambil demi menjaga keharmonian negara.
Beliau merujuk kepada beberapa insiden yang mencetuskan keresahan awam termasuk kes kematian pelajar Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir akibat buli di Sabah serta isu Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik.
Kedua-dua insiden itu katanya, telah dijadikan bahan untuk menghangatkan suhu politik secara tidak bertanggungjawab.
“Dari hal sebesarnya anak kita Zara Qairina di Sabah, ke isu Jalur Gemilang yang harus kita muliakan, semua dijadikan agenda menghangatkan suhu politik,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-20 (MAPPA XX) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Anwar turut menzahirkan kebimbangan terhadap budaya mengecam dan menghina yang semakin berleluasa tanpa mengira sama ada berasaskan fakta atau rekaan semata-mata.
Menurutnya, sikap sedemikian hanya akan memecah-belahkan rakyat dan merosakkan perpaduan negara.
“Hari ini bukan amaran, bukan teguran. Untuk menyelamatkan negara, tindakan tegas mesti dan wajib diambil,” tegasnya.
Beliau memberi jaminan bahawa tindakan akan dikenakan tanpa mengira pangkat atau kedudukan termasuk terhadap tokoh politik, tokoh masyarakat mahupun rakyat biasa yang terlibat dalam jenayah ugutan atau hasutan.
“Saya sudah memberi arahan jelas kepada pihak berkuasa.
“Sesiapa sahaja yang terlibat dalam jenayah ugutan atau hasutan, mesti diambil tindakan,” katanya.
Dalam ucapannya, Anwar turut menyeru seluruh masyarakat termasuk ibu bapa, pendidik dan rakyat agar bersama-sama menghentikan budaya kebencian yang boleh merosakkan keharmonian negara.