Tindakan Undang-Undang Menanti Penyalahgunaan Jalur Gemilang – AGC

PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) memberi amaran tegas bahawa tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati memasang atau memaparkan Jalur Gemilang secara tidak wajar sehingga menjejaskan kehormatan simbol kedaulatan negara.

Dalam satu kenyataan hari ini, AGC menyatakan bahawa pihaknya memandang serius beberapa insiden yang berlaku baru-baru ini termasuk pemasangan bendera Malaysia secara terbalik di sebuah kedai di Kepala Batas, Pulau Pinang serta di sebuah sekolah di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Selain itu, AGC turut menyenaraikan insiden pemaparan bendera Malaysia yang tidak lengkap dalam buku laporan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 serta penggunaan imej bendera yang tidak sempurna pada akaun media sosial rasmi milik akhbar Sin Chew Daily, Kwong Wah Yit Poh dan Harian Metro.

AGC berkata, semua pihak bertanggungjawab untuk menghormati Jalur Gemilang mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

“Sebarang perbuatan yang boleh menimbulkan kekeliruan, salah faham atau kegusaran awam boleh dikenakan tindakan undang-undang,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri terhadap mana-mana pihak yang disyaki melakukan kesalahan.

Ini termasuk menyerbu premis, menularkan maklumat peribadi, membuat tuduhan melulu di media sosial, mencetuskan provokasi atau ugutan serta mengarahkan penurunan bendera tanpa kuasa undang-undang.

“Orang ramai diingatkan tidak mengambil tindakan sendiri terhadap mana-mana pihak yang disyaki melakukan kesalahan termasuk menyerbu premis, menularkan maklumat peribadi, membuat tuduhan melulu di media sosial, mencetuskan provokasi atau ugutan, serta mengarah penurunan bendera tanpa kuasa undang-undang,” kata kenyataan itu lagi.

AGC menasihati orang ramai agar menyalurkan aduan atau maklumat kepada pihak berkuasa yang berwibawa untuk tindakan lanjut, selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang.

Anda Mungkin Berminat