Tolak Saranan Tubuh Kerajaan Perpaduan Antara Punca Akar Umbi Tolak Kepimpinan Muhyiddin

Oleh: Nadhirah Akmam

PETALING JAYA: Ketidakpuasan hati terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, kini makin terserlah apabila ramai pemimpin, penggerak awal dan akar umbi parti menyuarakan rasa tidak yakin terhadap kepimpinannya.

Menurut Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Dr Muhammad Faiz Na’aman, krisis pentadbiran semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta perbezaan pendirian Muhyiddin dengan pihak istana menjadi antara punca utama penolakan dalaman terhadap bekas Perdana Menteri itu.

“Keputusan Muhyiddin menolak pelawaan mantan Yang di-Pertuan Agong untuk menyertai Kerajaan Perpaduan turut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli yang merasakan peluang untuk parti kembali berpengaruh telah dilepaskan begitu sahaja,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.

Ketegangan dalaman memuncak dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU baru-baru ini apabila berlaku kekecohan terbuka antara kem Muhyiddin-Azmin dan kem Hamzah, dakwa Dr Faiz.

Insiden itu merupakan yang pertama seumpamanya sejak parti tersebut ditubuhkan pada 2016, sekali gus mencerminkan retakan serius dalam struktur kepimpinan.

Laporan Utusan Malaysia turut mendedahkan bahawa seramai 120 Ketua Bahagian menandatangani surat akuan bersumpah (SD) mendesak Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai presiden parti.

Jumlah itu melebihi separuh daripada keseluruhan 202 bahagian yang direkodkan pada tahun 2023.

Mengulas mengenai angka ini, Dr Faiz berkata, isyarat yang ditunjukkan oleh lebih separuh bahagian itu tidak boleh dipandang ringan.

“Ia membuktikan akar umbi mahu perubahan kepimpinan yang lebih segar dan relevan,” tambahnya.

Mengikut kelaziman politik, sebuah Mesyuarat Agung Tergempar (EGM) boleh dipanggil untuk menukar kepimpinan sekiranya mendapat sokongan majoriti bahagian tertakluk kepada perlembagaan parti dan kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Sejak penubuhannya pada September 2016, BERSATU tidak pernah berdepan krisis dalaman seserius ini.

Namun, perkembangan terkini dilihat sebagai ujian paling besar buat Muhyiddin dalam mempertahankan kedudukannya serta menentukan hala tuju parti di pentas politik nasional.

Anda Mungkin Berminat