PETALING JAYA: Dalam era moden yang serba canggih, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memilih untuk mengekalkan tradisi yang penuh nostalgia apabila mengutus kad Hari Raya Aidilfitri dengan ucapan bertulis tangan.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim bertitah bahawa amalan itu mengingatkan baginda kepada zaman sebelum kehadiran teknologi seperti telefon bimbit.
“Dahulu, tiada telefon bimbit, tiada SMS, WhatsApp dan sebagainya.
“Beginilah cara kita berhubung, iaitu mengutus kad, menulis ucapan dan menurunkan tanda tangan,” titah baginda, mengimbau detik-detik indah masa lalu yang sarat dengan makna.
Kad-kad ucapan itu yang ditandatangani secara peribadi oleh baginda, bakal diutuskan kepada penerima-penerima pilihan sebagai tanda penghargaan dan keakraban yang mendalam.